Teachnig & Learning > eHandbook > eLearn > Panduan Akademik Pelajar
| Introduction |  1  |  2  |  3  |  4  |
Pada Hari Peperiksaan

1. Semak dengan jadual waktu peperiksaan dan senarai semakan.


2. Bertolak pada masa yang sesuai supaya anda tiba ke dewan peperiksaan pada masa yang sesuai. Pastikan anda tidak mungkin lambat dalam keadaan biasa. Jangan pula terlalu awal sampai ke dewan peperiksaan dan bincangkan hal-hal peperiksaan. Perbincangan dengan pelajar-pelajar lain tentang soalan-soalan yang telah dikenalpasti sebagai soalan-soalan yang besar kemungkinan dikeluarkan itu akan mengganggu fikiran anda. Jangan hiraukan perbincangan pelajar-pelajar lain sebab anda telah membuat persiapan yang berpatutan.


3. Sebelum anda masuk ke dewan peperiksaan, pastikan anda tidak membawa sebarang benda yang boleh dianggap sebagai percubaan meniru. Anda mungkin terlupa bahawa anda mempunyai kad ringkasan rumusan penting dalam alat mengira anda. Jadi semaklah segala tempat yang anda selalu menyimpan kepingan kecil bahan-bahan rujukan.


4. Semasa anda berada dalam dewan peperiksaan susunkan segala peralatan yang anda bawa masuk supaya peralatan berada dalam tempat yang paling senang diambil apabila diperlukan. Keselamatan peralatan harus juga dijaga supaya ia tidak terjatuh dan dirosakkan. Misalnya dalam peperiksaan lukisan teknik, pastikan kotak pensil anda berada dalam keadaan yang paling selamat supaya ia tidak senang diganggu dan terjatuh.


5. Berikan perhatian pebuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pengawas peperiksaan. Anda dikehendaki menunjukkan Kad Pelajar ITTHO dalam setiap peperiksaan. Oleh sebab identiti calon peperiksaan adalah dirahsiakan dalam skrip jawapan, anda diingatkan supaya TIDAK menulis nama anda dalam kertas jawapan peperiksaan. Anda hanya dikehendaki mengisi nama anda dalam Borang Nama Calon Peperiksaan .


6. Baca arahan kepada calon dengan teliti dan pastikan anda telah memahaminya sebelum anda menjawab soalan peperiksaan. Semak dan pastikan bahawa bilangan muka surat kertas soalan peperiksaan adalah betul. Pengawas peperiksaan biasanya mengumumkan maklumat berkenaan dengan bilangan muka surat kertas soalan peperiksaan sebelum peperiksaan dimulakan.


7. Baca seluruh kertas soalan peperiksaan dan catatkan segala maklumat penting berhampiran dengan soalan berkenaan, misalnya rumusan yang akan digunakan. Ini membolehkan anda memilih soalan peperiksaan yang akan dijawab kemudian. Ini merupakan satu proses penting sebab kerja anda kemudian untuk menjawab soalan akan menjadi lebih lancar selepas otak anda mengerjakan ke atas penyelesaiannya tanpa kesedaran penuh anda. Kenyataan ini mungkin menimbulkan berbagai soalan dan keterangan lanjut adalah dianggap perlu supaya anda lebih yakin kepada fenomenon yang menarik hati ini. Anda mungkin pernah mengalami keadaan begini semasa anda berjumpa dengan seorang yang anda kenali tetapi anda telah lupa namanya. Anda berusaha untuk mengingatkan namanya dengan bersungguh-sungguh pada ketika itu tetapi tidak berjaya. Nama orang itu mungkin timbul dengan tiba-tiba selepas beberapa ketika apabila anda tidak berusaha untuk mengingatkannya. Anda sebenarnya menggunakan kemudahan otak anda dalam keadaan 'sub-conscious' tanpa kesedaran penuh anda sekiranya anda mengamalkan kaedah membaca semua soalan peperiksaan terlebih dahulu.


8. Janganlah takut apabila anda tidak dapat mengingatkan sesuatu rumusan yang dikehendaki pada ketika anda membaca soalan. Tinggalkan soalan ini dan teruskan kepada soalan yang berikutnya. Anda mungkin dapat mengingatkan rumusan yang dikehendaki kemudian.


9. Anda mungkin terperanjat apabila diberitahu bahawa anda mencapai gred yang lebih tinggi dalam kertas soalan peperiksaan yang sukar anda menjawab. Ini adalah kerana semua calon akan mengalami perasaan yang sama. Hanya mereka yang lebih berazam dan lebih berhati-hati serta mengetahui cara-cara mendapatkan markah maksimum dapat mencapai tahap yang lebih tinggi. Sebaliknya, anda harus lebih berhati-hati semasa menjawab soalan peperiksaan yang pada keseluruhannya lebih mudah sebab kebanyakan calon akan hilang markah oleh kerana kecuaian.


10. Markah adalah biasanya diberikan kepada:
(a) Kaedah yang betul (Method, M).
(b) Ketepatan jawapan yang diberikan (Accuracy, A).
(c) Kerja perhitungan untuk mendapatkan jawapan (Working, W)
Jangan berasa kecewa dan putus asa apabila anda dapati bahawa jawapan anda salah selepas peperiksaan sebab ketepatan jawapan hanya membawa sebahagian daripada markah yang diberikan kepada jawapan.


11. Jawab soalan yang anda mengetahui jawapan yang betul terlebih dahulu. Keyakinan anda akan bertambah setelah anda berjaya menjawab beberapa soalan. Jawapan anda akan menjadi semakin lancar apabila anda berasa yakin dan tenang.


12. Tandakan nombor soalan yang anda menjawab dengan jelas dalam ruangan yang ditetapkan. Perkataan yang penting bolehlah ditandakan dengan jelas untuk memudahkan pemeriksa membaca jawapan anda. Ingat bahawa pemeriksa, seperti anda sendiri suka membaca kenyataan yang baik, jelas, kemas dan tepat ertinya. Jawapan yang terlalu panjang biasanya tidak digemari oleh pemeriksa khasnya bagi soalan yang memerlukan jawapan yang tepat dan ringkas. Kenalilah perkataan bagi soalan yang memerlukan jawapan yang ringkas dan tepat misalnya perkataan 'nyatakan', 'sebutkan', 'senaraikan', 'takrifkan', 'namakan' dan sebagainya. Soalan-soalan bentuk ini adalah bertujuan menguji tahap pembelajaran yang agak rendah, iaitu pengetahuan sesuatu maklumat. Soalan yang memerlukan jawapan yang lebih panjang biasanya bermula dengan perkataan 'terangkan', 'bincangkan', 'analisakan', 'berikan penilaian' dan sebagainya.


13. Sekiranya anda berpendapat bahawa sesuatu soalan peperiksaan tidak lengkap dengan segala maklumat yang diperlukan, anda boleh memberitahu pengawas. Adalah lebih baik sekiranya anda mencatatkan hal ini dalam kertas jawapan peperiksaan anda dan membuat sesuatu andaian yang munasabah. Pemeriksa akan memberi kepujian kepada segala andaian yang bijak dan munasabah semasa menghadapi sesuatu masalah. Ingat bahawa pemeriksa pernah menjadi seorang calon peperiksaan dan memahami perasaan seorang calon peperiksaan seperti anda.


14. Peruntukan masa untuk menjawab sesuatu soalan peperiksaan harus juga sesuai dengan markah yang diperuntukkan. Salam keadaan yang ideal, anda harus mempunyai masa untuk menyemak semula jawapan anda. Gunakan masa ini dengan sepenuhnya. Menyerahkan kertas jawapan anda sebelum sampai masanya merupakan suatu tindakan yang kurang bijak. Belajarlah kaedah-kaedah untuk melakukan kerja semakan daripada pensyarah anda. Ingatlah bahawa anda harus berhati-hati sekiranya masa untuk semakan adalah agak banyak.


15. Adakah jawapan anda cukup jelas? Anda harus juga mempelajari cara-cara menggunakan gambarajah untuk sesuatu keterangan lebih mudah difahami dan jelas. Nomborkan setiap kertas jawapan anda. Pastikan susunan kertas jawapan anda adalah betul dan tiada yang tertinggal sebelum ianya diikat rapi dengan benang yang diberikan oleh pengawas peperiksaan. Serahkan kertas jawapan anda mengikut arahan daripada pengawas peperiksaan.


16. Selepas peperiksaan sesuatu matapelajaran anda harus menumpukan perhatian penuh kepada peperiksaan matapelajaran yang akan datang. Jangan biarkan perasaan kurang puas hati tentang peperiksaan lepas mengganggu persediaan anda untuk peperiksaan yang berikutnya.